Tuesday 30 July 2019

Tugas Cinta Dalam Mendengar, Tugas Hati Dalam Memberi

Tugas Cinta Dalam Mendengar,
         Tugas Hati Dalam Memberi









Ditulis oleh
Nur Syuhada Abdul Ghani (Aksarasyuhada)














“Eh, akak fasi datanglah”..kedengaran dari luar pintu suara gembira anak-anak di sana. Mereka gembira bukan kerana kehadiranku tapi mereka gembira bilamana ada yang mengunjungi mereka. Dari luar sudah kelihatan kelibat mereka yang berlari-lari menyambut kehadiranku. Belum sempat aku menghulurkan tangan, mereka sudah menghulurkan tangan untuk bersalam. Masing-masing tidak berhenti bercakap, bertanyakan itu dan ini. Keletah mereka waktu itu mencuit hati kecilku. Tahun 2014, pengalaman kedua bersama mereka. Di sini aku mula mengenali mereka dengan lebih dekat, apabila aku dipilih untuk berprogram bersama mereka selama 21 hari.  Walaupun aku tidak berada di tempat mereka, tapi hati kecilku bagaikan mengerti rasa hati mereka. Aku cuba menyelami hati mereka, memainkan peranan sebagai seorang kakak. Diberi tugas memantau kebajikan dan keadaan peserta pada ketika itu, mendekatkan lagi aku dengan mereka dan anak-anak yang lain. Alhamdulillah program kami kali ni menggabungkan peserta luar dengan anak yatim, untuk mereka menyelami dan merasai kehidupan anak-anak yatim. Sedang asyik memerhati gelagat setiap peserta dan sahabat yang rancak melayan gelagat adik-adik peserta. Tiba pandangan ini beralih pada satu sosok badan di tepi dinding. Aku mengamati wajah itu dari jauh, dilihat suram pada pandangan, dilihat sepi pada renungan. “Ya Allah izinkan aku mendekati anak ini”…bisik hati kecilku. Meskipun dia berada di dalam program bersama rakan yang lain yang rancak bergelak tawa, jauh di sudut hatinya bungkam seribu rahsia yang dipendam, jiwanya entah di mana. Redup matanya menguatkan lagi naluri ingin tahuku tentang dirinya. “adik, kenapa tak ikut serta dengan kawan-kawan yang lain?…dia hanya mengukir senyuman tanpa kata. “tak best ke program ni?…aku mengajukan soalan untuk mendapatkan jawapan. Dia hanya menganggukkan kepala tanpa sebarang suara. Mentari senja mula menapakkan wajahnya, mata aku tercari-cari kelibat adik tadi. “laa…di sini rupanya, puas akak cari tadi, adik ok?…tanya aku sambil menyentuh bahunya tanda sapaan mesra seorang kakak. “ok”…jawabnya ringkas dengan senyuman yang tak lekang di bibir kala di sapa. Aku menyentuh hangat tangannya, tanda kemesraan agar dia selesa dengan kehadiranku. “adik ada apa-apa nak kongsikan dengan akak ke? Dari tadi akak perhatikan adik diam je, macam tak seronok je...ujar aku lagi sambil memandang redup matanya. Dia hanya memandang aku, suasana sepi seketika, hanya kedengaran suara anak-anak yang lain bermain. Kolam matanya mulai berkaca. “takpa dik, akak sedia jadi pendengar untuk adik luahkan apa yang adik rasa, anggap je akak ni kakak adik”…ujar aku. Ya aku tahu dia mempunyai seorang abang di sana. Mereka hanya berjumpa bila dalam program. Umur mereka tidak jauh beza. “akak, saya rindu ma dan abah saya, lama dah saya tak jumpa mereka, kenapa mereka tak nak jaga saya?”…soalnya dalam sendu. Aku memandang wajahnya, kolam matanya yang berkaca-kaca tak mampu dibendung lagi.  Aku memeluk mesra bahunya, tanda masih ada yang menyayanginya. Aku bungkam seketika, saat dia meluahkan rasa rindunya pada insan tersayang. “kenapa mak dan abah adik tak datang jenguk adik?”…soal aku dengan penuh tanda tanya. Oh ya! Rumah anak yatim yang dihuni oleh mereka ni bukan sahaja rumah untuk anak yatim, malah rumah kebjikan ini juga mengumpulkan mereka yang kurang bernasib baik dan miskin. Dia memulakan bicara hatinya yang selama ini dipendam sendirian. Hati kecilku menangis saat dia mencerita kisah hidupnya, cuba ditahan tapi tewas juga akhirnya. Dia dan abangnya merupakan mangsa akibat sebuah penceraian. Abangnya dipilih oleh ayahnya untuk tinggal bersama, tapi semua tu tak lama manakala dirinya ditinggalkan dengan saudaranya yang lain. Sehinggalah mereka dihantar ke rumah kebajikan itu. Dalam usia yang kecil, dia dan abangnya berpisah, namun semua tu tidak menjarakkan hubungan mereka. Cuma terdetik dihatinya, “kenapa tak nak bawa dan jaga saya sekali? Kenapa saya ditinggalkan? Ayah tak sayang saya ke?. Dia  menangis, pada saat itu yang mereka minta adalah, “saya nak cari mak saya, saya nak jumpa mereka”. Aku pun tidak bertanya banyak soal itu, cuma menjadi pendengar bagi meredakan resah dihatinya. Dek kerana faktor kehidupan, dia dihantar ke sana pada usia 9 tahun, berpisah dengan ibu dan ayah dan adik beradik bukan sesuatu yang diimpikan setiap insan, usia yang belum boleh mengerti akan apa yang terjadi. Hanya mengikut setiap yang diatur. Hati mana tidak menangis mendengar cerita hati yang terluka. Menangis bukan tanda lemah, tapi itulah cara untuk menenang jiwa yang sarat dengan cerita sepi. Allah tak ciptakan air mata itu sia-sia. “ adik, akak yakin mak ayah adik juga rindukan adik. Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak. mak ayah adik tak pernah bencikan adik, mereka hantar adik ke sini kerana mereka nak bagi yang terbaik untuk adik. Mereka nak adik jadi anak yang solehah, yang terjaga akhlaknya, terbentuk kepribadiannya, yang mendoakan mereka saat mereka tiada nanti. Adik pilihan Allah. Allah dah aturkan perjalanan hidup yang terbaik untuk kita” Mereka hantar adik di sini untuk kebaikan adik bukan sebab mereka tak sayang. Mungkin mereka terpaksa…ujar aku menenangkan hatinya yang basah. “adik kena sentiasa doa untuk mereka, Allah Maha Mendengar setiap doa hambanya, Dia yang memegang setiap hati-hati manusia”…sambung aku lagi sambil mengukir senyuman yang sinar sebentar tadi. Walaupun mereka jauh, jangan pernah putus doakan mereka dan hadiahkan al-fatihah untuk mereka.”…sambung aku lagi. “boleh ke kak, kalau kita nak hadiahkan al fatihah untuk orang yang masih hidup”…soalnya teragak-agak. “boleh je dik”…jawabku ringkas. “Insha Allah, adik akan jumpa mak dan ayah adik suatu hari nanti dalam keadaan yang lebih baik, adik ada senjata doa yang hebat. Allah Maha Mendengar segala isi hati kita dik…aku mengakhiri pertemuan saat itu dengan bingkisan semangat untuknya. Dan hari ini setelah 6 tahun aku megenalinya dulu, aku melihat dia kini jauh berbeza dari dia yang dulu, sekarang dia adalah seorang yang ceria dengan gelak tawa dan sangat berbudi bahasa. Semakin rajin belajar dan mengaji al-quran. Aku gembira apabila melihat dirinya sekarang yang semakin mesra dengan kawan-kawannya. Di sini dia melakar kanvas kehidupannya menjadi satu lakaran yang indah. Kerana semalam adalah sejarah, hari ini adalah kenyataan dan hari esok adalah harapan yang masih ada.
"Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi" (Hadis Riwayat Hakim)

Walaupun anak-anak di sana mempunyai kisah hidup yang tidak sama dengan kanak-kanak seusia mereka. Mereka kelihatan tabah dengan apa yang Allah hadiahkan. Masing-masing punya kekuatan tersendiri. Namun jauh di pandangan mata, aku tahu mereka menelan segala keperitan hidup. Memainkan peranan sebagai seorang kakak, aku sentiasa mencari ruang untuk menyuntik semangat buat mereka, agar mereka tahu di sebalik awan mendung itu, pasti akan hadir mentari indah dalam hidup mereka. Kerana jauh diruang fikiran mereka, mereka ingin menggapai impian yang sekian lama terkubur.
Mereka bukan kanak-kanak terbuang, namun mereka kanak-kanak yang perlu diberi perhatian. Terdetik dalam hati kecilku, “kalau aku ditempat mereka, mampu kah aku?. Benarlah, Allah menguji hamba-Nya mengikut kadar kemampuan hamba-Nya. Teringat saya pada kalam Allah, “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya” (al baqarah :286).

Mereka bukanlah anak-anak yang terbiar, tapi mereka anak-anak pilihan Allah yang perlukan perhatian dan kasih sayang. Mereka suka bila ada orang bersembang, bercerita dengan mereka dan  mendengar apa yang mereka katakan. Mungkin sebab tu jugak lah Allah kurniakan kita dua telinga dan satu mulut. Kerana kita perlu lebih banyak mendengar dari berbicara. Kerana ramai di luar sana yang ingin bicaranya di dengari. Itulah tugas cinta dan kasih sayang, membina cinta dan sayang dengan mendengar.

 “Barang siapa yang tidak menyayangi manusia, maka Allah tidak akan menyayanginya” (HR Muslim)

Tiada seindah susunan kehidupan melainkan apa yang Allah aturkan. Subhanallah, Maha cantik aturan Allah, setiap pertemuan itu hakikatnya adalah pilihan Allah. Terkadang kita merancang, tapi jangan kita lupa, dalam setiap perancangan kita, ada perancangan Allah Yang Maha Hebat. Dan perancangan Allah lah yang lebih baik.

“The more love we give, the more love we receive”.

No comments:

Post a Comment